Telah sekian lama Dato’ Seri Anwar Ibrahim diitohmah dengan pelbagai
tuduhan. Tatkala dipenjara, antara fitnah yang dilemparkan ke atas
beliau kononnya beliau adalah alat kepada Bank Dunia dan Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF).
Tuduhan ini direkayasa semenjak tahun 1998 lagi lantaran komitmen
Dato’ Seri Anwar dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan negara
yang berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban. Dato’ Seri Anwar
bertegas menolak preskripsi ekonomi yang mahu menyelamatkan kroni dan
elit politik ekonomi sedangkan rakyat perit berhadapan krisis ekonomi
1997/98.
Lantaran ketegasan Dato’ Seri Anwar inilah Perdana Menteri ketika itu
Tun Dr. Mahathir Mohamad merasakan perlu menyingkirkan beliau dari
tampuk kepimpinan negara.
Setelah lebih dari satu dekad fitnah terhadap Dato’ Seri Anwar dan
keluarga beliau masih diteruskan oleh pimpinan UMNO serta juak mereka.
Pimpinan UMNO mahu beliau terus ditohmah hatta bercanggah dengan
kehendak agama dan nilai budaya yang tulus. Apa yang tidak pimpinan
UMNO dan Tun Dr. Mahathir sedari, rakyat tidak lagi senang
diperbodohkan. Fitnah yang direkayasa tidak ampuh menggugah keyakinan
rakyat untuk mendokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan
datang.
Tohmahan Tun Dr. Mahathir bahawa Dato’ Seri Anwar adalah agen Barat,
IMF dan Bank Dunia kini mula menghantui mantan Perdana Menteri
tersebut. Rakyat Malaysia tidak mudah lupa bagaimana Tun Dr. Mahathir
bersekongkol dengan Jack Abramoff dalam usaha beliau melobi untuk
bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush.
Malah menurut rekod Bank Dunia, selepas Dato’ Seri Anwar dipecat,
Malaysia masih menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan
khalayak tanpa segan silu mantan Perdana Menteri itu semberono
memfitnah Dato’ Seri Anwar sebagai perkakas Bank Dunia sekaligus agen
Barat.
Beberapa hari lalu Tun Dr Mahathir telah mencabar Dato’ Seri Anwar
bersumpah dengan menjunjung al Quran. Sewajarnya sebelum mantan
Perdana Menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al Quran,
eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel.
Sewajarnya dinyatakan tatkala masih menjawat jawatan Menteri Kewangan,
Dato’ Seri Anwar telah menulis kepada Bank Dunia bahawa Malaysia tidak
lagi memerlukan bantuan institusi kewangan itu. Kini sudah terang lagi
bersuluh, politik hipokrit usang serta propaganda fitnah pasti tewas
kerana kebenaran pasti muncul.
Rujukan pada pautan di bawah adalah bukti jelas betapa Tun Dr.
Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan
beliau yang terdahulu. Jika diteliti, ianya jelas menunjukkan komitmen
Bank Dunia kepada Malaysia pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir.
1 –
http://go.worldbank.org/U29R77EBX02 –
http://www.worldbank.org/projects/search?lang=en&searchTerm=&countryshortname_exact=Malaysia&src=
Eekmal Ahmad
Koordinator Media
Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Tiada berita berkaitan.